Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
20 Aug 2019 - Kajian Tenaga Kerja

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK)  2019 bermula Ogos hingga November 2019.

 

Objektif utama KTK 2019 ialah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.

 

KTK 2019 akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu:

i)             Peringkat Pertama (21 Ogos hingga 10 September 2019):

Peringkat pertama ini adalah bertujuan untuk menyenaraikan semua tempat kediaman di kawasan-kawasan yang terpilih sahaja di seluruh negara. Pegawai kajian akan mengumpulkan maklumat mengenai isirumah di kediaman-kediaman yang terlibat, iaitu seperti nama ketua keluarga dan bilangan ahli yang tinggal di rumah berkenaan. Maklumat tersebut akan digunakan semasa proses pemilihan bagi peringkat kedua.

 

ii)            Peringkat Kedua (14 Oktober hingga 10 November 2019):

Di dalam peringkat kedua, pegawai-pegawai kajian akan mengunjungi rumah keluarga terpilih dan seterusnya menemuduga ketua dan setiap ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dalam kajian ini.

 

KTK 2019 akan melibatkan kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih sahaja di seluruh negara. Temuduga akan dilaksanakan menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI), di mana pegawai kajian menggunakan tablet bagi menggantikan borangtanya yang dicetak semasa mereka menjalankan temuduga bersemuka dengan keluarga terpilih. Kaedah ini mula digunakan semasa KTK 2018 dan telah membantu dalam mengurangkan kos dan masa pengendalian kajian, di samping memudahkan pemerosesan data serta meningkatkan kualiti data secara amnya.

 

Kajian Tenaga Kerja dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Bab 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. JPKE ingin memberikan jaminan kepada semua keluarga atau isirumah yang terpilih bagi kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

 

JPKE telah melantik pegawai-pegawai kajian selaku penyelia dan penemuduga untuk menjalankan kerja-kerja luar bagi kajian ini. Keluarga terpilih adalah diingatkan supaya memastikan penemuduga yang datang membuat lawatan adalah pegawai kajian yang telah dilantik melalui pas kajian, surat lantikan dan kad pengenalan mereka serta vest JPKE.

 

1. Hasil yang diperolehi melalui KTK 2019 akan dapat memberikan sumber maklumat yang penting bagi kegunaan perancangan sosio-ekonomi negara. Selain itu, hasil KTK ini juga boleh digunakan oleh pihak sektor swasta, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai bagi keperluan dan kegunaan masing-masing.

 

2. Justeru itu, sokongan dan kerjasama semua keluarga terpilih dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

 

3. Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2019 ini bolehlah dirujuk ke JPKE seperti berikut:

Telefon                                    :           2230265 or 2230250 (waktu pejabat) 

E-mel                                      :           info.statistics@jpke.gov.bn

Laman sesawang                     :           www.depd.gov.bn

Attachments
Created at 8/26/2019 8:46 AM by Awg Mohammad Haimi Bin Yarmin @ Yamin
Last modified at 8/26/2019 8:48 AM by Awg Mohammad Haimi Bin Yarmin @ Yamin